Inti Paskah: Panggilan untuk bangkit dari keputusasaan

Inti pesan Paskah ialah panggilan untuk bangun dari keputusasaan. Paskah adalah tentang permulaan baharu.

Apr 16, 2022


KUALA LUMPUR: “Adakah iman masih dapat menopang kita dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini?” demikian persoalan yang dikemukakan oleh Uskup Agung Julian Leow, dalam pesannya sempena Hari Paskah 2022.

Inti pesan Paskah ialah panggilan untuk bangun dari keputusasaan. Paskah adalah tentang permulaan baharu. Seperti Maria Magdala dan para murid, yang berani untuk beralih dari bayang-bayang kematian di salib kepada cahaya kebangkitan, kita juga sedang bergerak dari musim sejuk pandemik ke musim bunga endemik.

Uskup Agung Julian mengingatkan, Gereja harus dibuka semula dengan penuh tanggungjawab. Menyedari virus dan variasinya masih menular, Uskup Agung mahu semua umat melindungi diri sendiri dan melindungi mereka yang lemah.

Dengan pembukaan semula gereja, ada kemungkinan kurang dikunjungi kerana tidak memuaskan apa yang didahagakan oleh umat. Maka, Uskup Agung Julian menyeru para paderi, religius dan kaum awam, untuk menjadikan Gereja sebagai tempat di mana orang boleh bertemu dan mengalami Tuhan yang bangkit.

“Bertemu dan mengalami Tuhan yang bangkit bukan sahaja di dalam bangunan Gereja. Kita tidak boleh menjadi orang yang memandang hal ehwal dan penyelenggaraan dalaman Gereja sahaja.

“Sebaliknya, kita mesti bersedia untuk berorientasikan misi, melayani orang di mana mereka berada, melalui liturgi dan sakramen malah melalui kedekatan pastoral dengan mereka yang tidak lagi datang ke Gereja.

Kita harus bersedia, melayani yang memerlukan di mana sahaja mereka berada,” tegas Uskup Agung Julian. “Kita sebagai umat Katolik dipanggil untuk bertindak balas dengan belas kasihan, perpaduan dan dalam menjaga mereka yang menderita dan paling lemah.”

Beliau melanjutkan bahawa, “Ini adalah tanda pengharapan yang sejati, iman Paskah yang mendorong para murid tidak mewartakan tragedi kematian Yesus sebaliknya mengongsikan kebangkitan-Nya, janji kehidupan kekal, kegembiraan dan keyakinan dalam Roh Kudus —

Inilah makna Paskah yang selalu tenggelam lebih-lebih lagi pada masa ini, apabila kepercayaan dan amalan agama sering diketepikan. “Inilah Paskah yang menerangkan matlamat, memberikan tujuan dan makna hidup kita, walaupun di tengah-tengah pergelutan yang kita hadapi. Begitu ramai di dunia sekarang yang harus mengetahui perkara ini sekarang!

“Lebih-lebih lagi pada masa ini, apabila kepercayaan dan amalan agama sering diketepikan oleh sebilangan besar masyarakat kita atas pelbagai sebab. Bukan itu sahaja, apabila undang-undang yang melanggar kebebasan beragama atau prinsip kepercayaan kita diluluskan, atau apabila kita jatuh ke dalam tabiat buruk yang mengutamakan dan mengamalkan kepercayaan hanya apabila ia sesuai dalam kehidupan kita dan menganggapnya mengganggu kehidupan kita yang sibuk.”

Uskup Agung Julian mengajak umat agar mempunyai keberanian seperti Maria dan menjadi lelaki dan wanita Paskah yang benar-benar menghidupkan Berita Baik dalam Gereja dan dunia kita. Apa yang mampu kita lakukan jika tanpa iman!

Pada akhir pesannya, Uskup Agung Julian menyatakan, “Semoga damai Kristus yang Bangkit tinggal di dalam hati anda sepanjang Musim Paskah ini, dan semoga anda dipenuhi dengan sukacita dan harapan.

“Doa saya tetap bersama anda semua. Selamat Hari Paskah yang bahagia dan diberkati kepada anda dan orang-orang tersayang anda!”

Total Comments:0

Name
Email
Comments